Bateri kereta merupakan komponen yang kita jarang periksa. Kita lebih fokus terhadap tayar, enjin dan banyak lagi. Akan tetapi bateri pula sering diabaikan, ada 2 kemungkinan untuk orang tidak periksanya. Pertama, malas untuk buka hud atau yang kedua, ramai yang masih tidak tahu tanda bateri sudah lemah.
Perkongsian pada hari ini diilhamkan dari perkongsian daripada Dr. Hasbullah. Beliau menceritakan berkenaan cara untuk mengenalpasti bateri mempunyai tanda sudah lemah ataupun tidak.
5 Tanda-Tanda Bateri Kereta Sudah Menjadi Lemah ialah:
1) Crank Perlahan Semasa Nak Hidupkan Kereta
Cranking bermaksud bunyi yang dihasilkan oleh kereta sebelum kita hidupkan kereta. Sebagai seorang yang mempunyai rutin menghidupkan kereta setiap pagi, sudah tentu akan terbiasa dengan bunyi cranking kereta masing-masing.
Jikalau bunyi cranking tersebut berubah atau mengambil masa yang lama untuk hidup, anda perlu segera ke bengkel bagi tujuan memeriksa kereta anda.
2) Bunyi Klik Semasa Tengah Hidupkan Kereta
Sebagai pemilik kereta, anda harus tahu yang bunyi klik itu merupakan tanda besar yang bateri kereta anda sudah lemah. Ini kerana bunyi klik itu dihasilkan kerana bateri sudah tidak mampu untuk menghidupkan kereta anda.
3) Lampu Ralat Indikator Mula Menyala (Kereta Moden)
Tanda yang ketiga ini hanya untuk kereta moden yang mempunyai banyak sensor. Antara contoh error code atau kod ralat yang boleh menyala akibat bateri lemah adalah sensor check engine, lampu steering malfunction.
Selain itu, kita tidak boleh menjangkakan lampu indikator apa yang bakal menyala. Apabila hal ini berlaku kepada anda, jangan panik. Tambahan pula, jikalau bateri anda masih baru tetapi lampu ralat masih menyala ianya mungkin disebabkan oleh alternator kereta anda.
4) Lampu Depan Makin Malap (Kereta Lama)
Tanda keempat ini pula hanya untuk kereta yang lama sahaja. Jikalau anda perasan ada perubahan dari segi kecerahan lampu depan kereta anda semakin berkurang, hal ini boleh terjadi disebabkan bateri kereta anda sudah lemah.
5) Bateri Terlalu Lama
Tanda kelima ini sebenarnya lebih kepada langkah penjagaan bateri. Biasanya bateri hanya tahan dalam tempoh 3-5 tahun sahaja.
Oleh itu, kalau bateri sudah melebihi jangka hayatnya, kemungkinan besar bateri anda sudah tidak dapat berfungsi dengan baik lagi.
Akhir sekali, kita perlulah sentiasa memeriksa dan peka terhadap bateri kenderaan kita. Hal ini kerana kita ingin mengelakkan daripada berlakunya kereta mati ditepi jalan.
Semoga perkongsian daripada Dr. Hasbullah ini dapat membantu anda dalam mengenalpasti keadaan bateri kereta pada masa akan datang. Selamat mencuba!
sumber: Dr. Hasbullah
Baca juga: 5 Tanda ‘Brake Pad‘ Anda Perlu Ditukar